Bos Chelsea, Antonio Conte, yang bimbang dengan kesan yang bakal ditonjolkan Paul Pogba dalam aksi suku akhir Piala FA, awal pagi Selasa, menggesa pasukannya agar memberi perhatian besar terhadap pemain tengah Manchester United itu.

Penghijrahan dengan rekod yuran termahal dunia dari juara Itali, Juventus, Pogba bergelut mempamerkan prestasi konsisten sejak kembali ke Old Trafford menjelang kunjungan United ke Stamford Bridge.

Pogba dikritik selepas United seri 1-1 menentang Bournemouth dalam saingan Liga Perdana minggu lalu tetapi Conte -- yang membawa pemain antarabangsa Perancis itu di Turin pada 2012 semasa mengendalikan Juventus -- lebih daripada menyedari kualiti yang dimiliki pemain berusia 23 tahun itu.

"Kami bercakap tentang yang utama, pemain utama. Pemain utama dalam semua keadaan," kata Conte.

"Juga dalam komitmennya dalam latihan, cuba untuk memperbaiki diri, teknik yang baik, fizikal yang kuat, stamina yang kuat.

"Kami mesti memberi perhatian yang besar kepadanya, terutama apabila dia tiba di dalam kotak."

Walaupun berhati-hati dengan Pogba, Conte tidak tertumpu kepada seorang pemain apabila pendahulu Liga Perdana itu cuba untuk merampas gelaran Piala FA daripada Manchester United.

"Kami sedang berusaha untuk cuba mencari penyelesaian yang tepat bagi keseluruhan pasukan, bukan sahaja untuk Pogba. Bukan hanya untuk seorang pemain," kata Conte.

"Ia adalah sama ketika menentang West Ham, apabila kami bermain menentang Andy Carroll, dan ada soalan mengenai usaha bagaimana untuk menghalangnya.

"Benar, kami sedang mengkaji United untuk mencuba dan mencari penyelesaian yang betul. Tetapi kami harus berfikir tentang seluruh pasukan United itu. Mereka sangat kuat."

Conte juga menolak perbandingan di antara Pogba dan rakan pemain antarabangsa Perancis, N'Golo Kante, yang terus mempamerkan prestasi hebat dalam Liga Perdana selepas tiba dari penyandang juara, Leicester City.

"Mereka adalah dua pemain yang berbeza dengan ciri-ciri yang berbeza," kata pengurus dari Itali itu.

"Saya fikir ia sangat sukar untuk mencuba dan membandingkan Pogba dengan N'Golo (Kante), dua pemain dengan ciri-ciri yang berbeza. Dua pemain yang hebat, tetapi yang berbeza."