Ketua jurulatih Inter Milan, Antonio Conte, menyamakan Romeu Lukaku dengan quarterback NFL sambil memuji wira dua jaringan pasukannya, Achraf Hakimi, selepas menewaskan Bologna 3-1 dalam Serie A awal pagi tadi.

Skuad kendalian Conte itu merapatkan jurang dengan pendahulu liga dan seteru tradisi mereka, AC Milan, kepada dua mata hasil jaringan Lukaku dan pertahanan sayap, Hakimi, di San Siro.

Bintang Inter, Lukaku, memecahkan kebuntuan jaringan pada minit ke-16 sebelum Hakimi menggandakan jaringan itu sebelum waktu rehat.

Jaringan Emanuel Vignato pada minit ke-67 memberikan sedikit kegusaran buat Inter tetapi gol kedua peribadi Hakimi memastikan skuad Nerazzurri itu memenangi perlawanan berkenaan dengan rekod 26 gol daripada 10 perlawanan pertama yang kali pertama dicatatkan sejak musim 2009-10.

Conte memuji prestasi Lukaku, yang menjaringkan lapan gol daripada sembilan perlawanan liga musim ini -- pemain kebangsaan belgium itu menjaringkan lebih daripada tujuh gol sebelum perlawanan ke-11 buat kali pertama sepanjang kariernya.

Lukaku turut menjaringkan gol dalam kesemua empat perlawanan Serie A di gelanggang sendiri sejak permulaan musim 2020-21, sekali gus menyamai rekod Christian Vieri sejak era tiga mata bagi setiap kemenangan.

"Saya percaya dia dboleh menjadi lebih kuat," kata Conte kepada DAZN.

"Saya menyifatkannya seperti permata kasar ketika dia tiba di sini dan berasakan kami dapat membantunya untuk menjadi penyerang terbaik di dunia.

"Dia berada di landasan tepat, dia mempunyai segala-galanya, fizikal sebagai penyerang utama dan juga rentak dan kekuatan seperti quarterback American Football.

"Dia melakukannya dengan baik, memahami apa yang perlu dilakukan, rendah diri dan bekerja keras untuk pasukan, saya amat gembira dengannya," katanya

Hakimi, yang tiba daripada pasukan juara LaLiga, Real Madrid, menjelang permulaan musim ini selepas dua musim dipinjamkan ke Borussia Dortmund, menjadi satu-satunya pemain pertahanan dalam Serie A yang menghasilkan sekurang-kurangnya dua gol dan dua bantuan jaringan musim ini.

"Pemain muda ini hanya berusia 20 tahun dan hanya beraksi selama dua musim di Dortmund, di mana mereka kurang bermain secara taktikal.

"Haki berusaha keras. Dia sedar perbezaan antara bola sepak di Itali dan Jerman, di mana mereka tidak mengkaji pihak lawan sehingga ke tahap identiti dan perwatakan.

"Saya fikir dia sedang berada dalam pasukan dan di bawah jurulatih yang betul untuk menjadi salah seorang pemain terbaik dunia di posisinya.

"Ia memerlukan usaha yang keras tetapi saya amat gembira kerana prestasi seperti ini akan meningkatkan semangatnya di mana kesilapan lalunya mungkin menjejaskan keyakinan dirinya," tambahnya.