Antonio Conte menggelar Romelu Lukaku sebagai 'gergasi yang mesra' selepas pemain termahal Inter Milan itu menjaringkan gol dalam penampilan kompetitif pertama ketika meraih kemenangan 4-0 ke atas Lecce, yang beraksi dengan 10 orang, awal pagi tadi.

Lukaku dan Stefano Sensi menyumbat gol dalam penampilan pertama sambil Marcelo Brozovic dan Antonio Candreva menambah dua lagi jaringan untuk melengkapkan kemenangan.

Penyerang Belgium itu menyinar dengan tenaga pada tahap tertinggi serta ketajaman ketika beraksi walaupun dia menghalang Matteo Politano daripada meletakkan nama dalam senarai penjaring selepas berada dalam posisi ofsaid.

Sebelum ini, Conte cuba mendapatkan Lukaku sewaktu bersama Chelsea dan dia kini menikmati tempoh bekerjasama dengan bekas tonggak Manchester United itu.

"Lukaku melangkah ke Inter dengan penuh bergaya," katanya.

"Dia gergasi yang berani, sentiasa tersenyum. Dia bersedia untuk berkhidmat dengan pasukan dan membuatkan rakan sepasukan gembira.

"Saya juga mahu mengatakan bahawa Lautaro Martinez beraksi cemerlang dan semua pemain tampil dengan bagus.

"Ini hanya aksi pertama, kami boleh menikmatinya selama sehari tetapi esok kami akan mula fikirkan pertemuan dengan Cagliari."

Conte muncul pengurus ketiga Inter yang meraih kemenangan dengan empat jaringan dalam aksi pertama Serie A, mengikut langkah Giuseppe Meazza dan Helenio Herrera tatkala Lecce yang baru dinaikkan ke liga tertinggi melihat Diego Farias dilayangkan kad merah.

Namun, Conte berpendapat masih banyak ruang yang perlu diperbaiki walaupun kemenangan itu membolehkan mereka menduduki tangga teratas liga selepas aksi pertama.

"Kami bermula dengan baik, menghormati idea bola sepak yang saya mahukan," tambahnya.

"Namun, saya tidak berpuas hati dengan pendahuluan 2-0 dan memberitahunya kepada pemain. Saya mahu kami kembali ke landasan dan tidak terganggu atau ia akan berakhir.

"Ia satu persembahan yang hebat dan anda boleh lihat idea di situ. Ia satu keputusan yang bagus kerana Lecce beraksi dengan baik. Sentiasa ada risiko apabila turun beraksi dan kami tidak mahu ia terganggu buat kami atau peminat.

"Masih ada langkah yang perlu diperbaiki, termasuk mental dan fokus, tetapi saya puas dan berbesar hati dapat bekerja dengan barisan pemain ini.

"Versi 3-5-2 ini jelas lebih menyerang berbanding 4-2-4 yang lama. Saya fikir pemain sesuai dengan sistem ini dan barisan tengah sedia untuk ke depan.

"Kami tidak boleh berpuas hati tetapi harus sentiasa dinamik."