CHELSEA 1 MANCHESTER UNITED 0

Antonio Conte mendakwa pemain-pemain Manchester United cuba mencederakan Eden Hazard ketika The Blues meraih kemenangan 1-0 dalam saingan suku akhir Piala FA di Stamford Bridge, awal pagi tadi.


Ander Herrera dilayangkan kad merah selepas melakukan dua kekasaran ke atas pemain kebangsaan Belgium itu dan United terpaksa meneruskan aksi dengan 10 pemain ketika permainan berbaki 60 minit.

N'Golo Kante meledak gol kemenangan dalam babak kedua perlawanan untuk memberikan kekalahan kali kedua buat Jose Mourinho di Stamford Bridge sebagai pengendali The Red Devils.

Seperti dijangka, Mourinho tidak berpuas hati dengan keputusan yang diberikan kepada pemain-pemainnya tetapi Conte menyatakan sebaliknya, malah bersetuju dengan keputusan pengadil perlawanan, Michael Oliver.

"Saya berasakan sejak dari awal permainan, Hazard tidak diberikan peluang untuk bermain bola sepak.

"Setiap orang boleh melihatnya dan mengadili situasi ini," kata Conte kepada BBC.

Tambah Conte lagi, "Ketika anda berdepan pemain yang berbakat, kadang-kala anda akan cuba untuk menakut-nakutkan mereka dan pengadil harus mengawal situasi bagi mengelak daripada kecederaan serius."

Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mempamerkan kehebatan mereka, mendominasi perlawanan untuk memastikan The Blues melangkah ke separuh akhir.

Dengan Tottenham menanti mereka di Wembley, Conte memuji prestasi anak buahnya untuk menghadapi perlawanan-perlawanan penting.

"Ia merupakan prestasi yang sangat baik bagi berdepan sebuah pasukan yang kuat yang membariskan pemain-pemain berkualiti."