Jurulatih Chelsea, Antonio Conte, mendakwa Alvaro Morata sedang berjuang untuk mendapatkan semula posisinya tetapi tidak menjamin penyerang itu akan bermula menentang Barcelona, esok.

Skuad Conte menghadapi cabaran sukar di Camp Nou susulan seri 1-1 dalam perlawanan pertama pusingan 16, Liga Juara-Juara Eropah.

Skuad Liga Perdana Inggeris itu harus mencetak gol untuk memiliki peluang meneruskan kemaraan, mendorong bekas pemain kegemaran Chelsea, Frank Lampard, menggesa Morata diturunkan.

Pemain antarabangsa Sepanyol itu berada di bangku simpanan dalam dua perlawanan terakhir Liga Perdana dan gagal menjaringkan gol sejak sehari selepas Krismas.

"Jangan lupa, untuk Morata, ini musim penuh pertama dalam kerjayanya," kata Conte kepada wartawan.

"Juga kerana, pada masa lalu, dengan Real Madrid dan Juventus, dia berada di bangku simpanan. Dia adalah pengganti pertama jika penyerang cedera. Musim ini, saya fikir kami harus banyak bersabar.

"Pastinya, dia adalah prospek yang sangat penting untuk Chelsea, untuk masa sekarang dan masa depan. Dia akan bermain untuk perlawanan esok.

"Saya melihat fokus yang hebat, kehendak hebat (daripada Morata) bagi mencuba dan berjuang untuk tempat. Saya dapat beritahu kamu perkara ini."