Antonio Conte berharap penyokong bersabar selepas dia mula berkhidmat di Tottenham 'perlawanan gila' menentang Vitesse dalam saingan Liga Conference.

Spurs muncul pemenang di Stadium Tottenham Hotspur awal pagi tadi, tetapi mereka menyukarkan diri sendiri selepas mendahului dengan tiga jaringan menerusi Son Heung-min, Lucas Moura dan gol sendiri daripada Jacob Rasmussen dalam tempoh 30 minit pertama.

Gol pembukaan Son bermakna pemain antarabangsa Korea Selatan itu telah menjaringkan gol pertama Tottenham di bawah setiap tiga bos tetap terbaru mereka.

Rasmussen menebus kesilapannya sebelum Matus Bero mengurangkan lagi defisit tujuh minit kemudian, dengan kad merah dilayangkan Cristian Romero meletakkan tuan rumah di bawah tekanan ketika berbaki setengah jam untuk bermain.

Vitesse gagal menyempurnakan kebangkitan susulan dua kad merah dilayangkan kepada Danilho Doekhi dan penjaga gol, Markus Schubert pada penghujung permainan.


Spurs akan kembali beraksi bertemu Everton dalam saingan Liga Perdana Inggeris Ahad sebelum rehat antarabangsa, Conte memberi amaran bahawa ia akan mengambil masa untuk dia menerap falsafah permainannya ke dalam pasukan.

"Ia adalah perlawanan yang gila. Biasanya saya tidak suka perlawanan jenis ini -- perlawanan gila bermakna apa-apa boleh berlaku. Tetapi pada masa sama, saya fikir kami harus menang dan kami menang," kata Conte kepada BT Sport.

"Kami menang 3-0 kemudian melepaskan dua gol yang boleh kami elak. Selepas kad merah kami menghadapi masalah.

"Mereka perlu meningkatkan keyakinan mereka. Mereka perlu bekerja banyak. Masalahnya kami kena mencari masa untuk bekerja. Kami mempunyai dua hari untuk perlawanan seterusnya, kemudian ia adalah rehat antarabangsa.

"Yang pasti, kami kena memperbaiki mutu permainan. Ia bukan mudah kerana dalam dua hari kami bersedia untuk perlawanan [Vitesse] ini, kini kami hanya mempunyai satu hari. Esok adalah mustahil untuk bekerja dengan pemain yang bermain malam ini. Mereka menggunakan banyak tenaga. Esok mereka perlu berehat dan kami akan bekerjasama dengan pemain yang tidak turun beraksi.

"Kami perlu mempunyai sedikit kesabaran kerana kami perlu bekerja pada banyak aspek - daripada segi taktikal dan fizikal. Saya tidak takut dengan kerja itu. Saya tahu hanya melalui kerja anda boleh mencapai sasaran penting."