Antonio Conte menegaskan Inter Milan akan terus menumpukan kepada diri mereka sendiri dan bukannya AC Milan selepas terlepas peluang untuk memintas seteru setempat itu di kedudukan teratas Serie A.

Seminggu selepas menewaskan satu lagi pencabar Scudetto, Juventus, 2-0, Inter gagal meneruskan rentak itu apabila diikat tanpa jaringan oleh pasukan di kelompok pertengahan, Udinese awal pagi tadi.

Skuad kendalian Conte itu melakukan 10 percubaan di Dacia Arena -- rekod terendah mereka dalam aksi liga di laman lawan musim ini -- yang turut menyaksikan Conte dibuang padang pada penghujung permainan kerana mempertikaikan keputusan pengadil.

Milan tewas 0-3 kepada Atalanta dalam satu lagi perlawanan tetapi Inter hanya dapat merapatkan jurang dengan pendahulu liga itu kepada dua mata bagi menamatkan separuh pertama musim ini.

Skuad Nerazzurri hanya memenangi satu daripada empat perlawanan Serie A terakhir, berbanding memenangi kesemua lapan perlawanan sebelumnya, dan Conte mengakui terdapat penambahbaikan yang diperlukan pasukan itu.

"Seperti yang selalu saya katakan, kami perlu memikirkan mengenai kami dan bukannya pasukan lain seperti Milan. Kami hanya perlu fokus untuk memperbaiki prestasi dan keputusan kami," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Kami hanya mencuba berusaha dan memberikan yang terbaik daripada diri kami. Saya fikir berdasarkan pelbagai kesukaran yang kami hadapi tahun ini, Inter telah menjadi buah mulut dan protagonis sebenar.

"Inter layak menerimanya sebagai sebahagian daripada sejarah mereka. Masih ada separuh musim lagi untuk dihadapi tetapi kami telah melakukannya musim lalu dan separuh perjalanan itu amat hebat," katanya.