Andrea Pirlo percaya Antonio Conte akan memberikan sesuatu yang lebih buat Inter Milan berbanding Jose Mourinho selepas spekulasi melibatkan dua bekas pengendali Chelsea itu menggantikan Luciano Spalletti semakin bertiup kencang.

Conte dilaporkan bersedia untuk mengambil alih Inter walaupun Spalleti membawa pasukan itu menyertai Liga Juara-Juara Eropah buat tahun kedua berturut-turut selepas meraih tempat keempat dalam Serie A.

Bekas pengendali Inter, Mourinho, turut dikaitkan dengan kepulangan ke kelab itu, namun Pirlo -- yang pernah beraksi di bawah bimbingan Conte sewaktu bersama Juventus -- percaya bekas ketua jurulatih Itali itu lebih sesuai buat Nerazzurri.

"Pada pandangan saya, Conte boleh memberikan sesuatu yang lebih berbanding Mourinho, terutama daripada segi struktur dan usaha keras," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Jika dia menyertai Inter, penyokong akan menyokong pasukan dan mereka akan lebih rapat dengan pemain," katanya.

Desas-desus mengenai pelantikan Conte itu turut diperkuatkan lagi apabila Inter kini dikaitkan untuk mendapatkan penyerang Manchester United, Romelu Lukaku, selepas Mourinho dipecat oleh pasukan itu Disember lalu.

Conte dilaporkan berminat untuk menandatangani Lukaku ketika mengemudi Chelsea sebelum pemain kebangsaaan Belgium itu melengkapkan perpindahan ke United dengan nilai £75 juta (RM398.5 juta) pada 2017.

Perkhabaran mengenai Lukaku itu tiba ekoran ketidaktentuan masa depan Mauro Icardi, yang dilucutkan daripada tugasan kapten Februari lalu.

Icardi tidak menyertai pasukan utama selama hampir dua bulan dengan mendakwa dia mengalami kecederaan lutut selepas pemain kebangsaan Argentina itu dikaitkan dengan Juventus, Napoli, Real Madrid dan United.

"Saya tidak fikir Mauro penyerang yang sesuai dengan corak permainan Conte," tambah Pirlo.

"Conte mahukan seorang penyerang yang boleh berhubung dengan keselurhan pasukan, penyerang yang akan bertukar-tukar hantaran dengan pemain lain dan Icardi amat jarang melakukannya."