Antonio Conte percaya bahawa usaha keras Inter Milan kini mula membuahkan hasil ketika mereka memburu gelaran Serie A pertama sejak musim 2009-10.

Skuad Nerazzurri itu memastikan kemenangan kelima berturut-turut dalam saingan liga di mana gol daripada Romelu Lukaku, Matteo Darmian dan Alexis Sanchez memastikan kemenangan 3-0 mereka ke atas Genoa di San Siro malam tadi .

Ia merupakan kemenangan keenam berturut-turut Inter ke atas Genoa dalam saingan liga tanpa dibolosi sebarang gol -- kali pertama mereka mencapai rekod berkenaan berdepan mana-mana lawan dalam kejohanan itu.

Kemenangan itu mengekalkan mereka di puncak Serie A dengan kelebihan empat mata di depan AC Milan, yang turut menewaskan AS Roma dalam satu lagi perlawanan.

Conte gembira dengan apa yang ditampilkan pasukannya sambil berkata pemainnya berhak mendapat pengiktirafan selepas menentapkan standard baru dalam saingan musim ini di depan Juventus, yang muncul juara sembilan edisi lalu.

"Kami berdepan Genoa dengan keadaan terbaik," kata Conte kepada Sky Sport Italia.

"Kami menggunakan pendekatan yang betul, hanya membenarkan Genoa melakukan sedikit hantaran lintang. Kami menjaringkan tiga gol, (penjaga gol Genoa) Mattia Perin perlu melakukan beberapa aksi menyelamat getir, jadi kami amat gembira.

"Segala usaha kami akhirnya terbalas. Ia sudah bermula sejak tahun lalu tetapi pasukan ini semakin yakin dengan kemampuan mereka, memahami keadaan ketika memiliki dan tanpa bolla, bila perlu bertindak agresif dan bila perlu mengekalkan penguasaan.

"Mereka adalah pemain Inter, mereka perlu sentiasa memiliki keinginan untuk menang. Sudah lama Inter tidak memenangi apa-apa, kami terlalu hampir untuk melakukannya musim lalu (hanya dibezakan satu mata dengan Juve) walaupun ia hanya tahun pertama saya.

"Tahun sebelum itu, jurang dengan Juventus dan Inter adalah 15 mata. Jadi, kami menetapkan objektif dan mencongak jurang dengan pendahulu liga sebelum ketibaan saya. Musim lalu telah menjadi satu langkah yang besar.

"Saya fikir kami sedang meneruskan projek itu dan sedang melakukan sesuatu yang penting tetapi masih ada 14 perlawanan untuk dihadapi.

"Kami perlu terus seperti ini, saya menyedari pasukan ini telah berkembang dalam segenap cara, di mana kami mencipta sinergi yang luar biasa dan empati sesama semua yang ada di sini tetapi sasarannya adalah kemenangan," katanya.

Inter seterusnya akan meneruskan aksi Serie A dengan bertandang ke laman Parma pada Khamis ini sebelum melayani kunjungan Atalanta empat hari kemudian.