Antonio Conte melabel spekulasi yang mengaitkannya kembali mengemudi Juventus satu berita yang kurang enak memandangkan dia amat gembira di Tottenham.

Conte masih mengelak untuk menyatakan hal berkaitan lanjutan kontraknya yang akan tamat hujung musim ini tetapi mengulangi betapa gembiranya dia di kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berpangkalan di London utara itu.

Bianconneri sedang bergelut dengan prestasi selepas membuat permulaan yang buruk apabila menduduki tangga dalam untuk kempen baru di bawah bimbingan Massimiliano Allegri.

“Saya rasa ini berita seperti ini tidak menghormati jurulatih Juventus dan tidak menghormati saya bekerja untuk Tottenham," katanya dalam sidang akhbar sempena bertemu Arsenal, malam esok.

“Saya fikir tidak wujud masa yang sesuai (tandatangani kontrak baru). Boleh jadi esok, boleh jadi hari terakhir musim EPL, faham?

“Saya rasa perkara paling penting untuk saya dan kelab faham ialah kami mahu terus bersama dan menuju ke arah yang sama. Saya fikir ini adalah perkara yang paling penting. Jika tidak, saya tidak nampak masalah atau situasi lain.




“Saya berkata pada masa lalu bahawa anda tidak memerlukan kontrak untuk memastikan kekal di sesebuah kelab. Saya fikir kelab juga membuat satu pelaburan yang baik untuk mempunyai jurulatih seperti saya dan kakitangan saya."

Conte turut gembira apabila Spurs sudi melabur pada musim panas lalu selepas dia berjaya meyakinkan pihak atasan mengenai kemampuannya memacu pasukan ke Liga Juara-Juara (UCL).

“Saya fikir pada masa yang sesuai, kami akan meraih keputusan terbaik tetapi pada masa ini saya sangat gembira dan saya tidak mahu memberi tekanan kepada kelab atau situasi lain kerana ini bukan masa yang sesuai. Kami baru sahaja memulakan musim dan kami mempunyai tempoh yang panjang untuk hidup bersama, memahami dan terus bekerjasama.

“Perkara paling penting bagi saya ialah saya sangat seronok bekerja dengan Tottenham dan dengan pemain-pemain ini di sini. Saya sangat gembira dapat bekerjasama dengan pemain ini dan hubungan dengan pemilik, Daniel (Levy), dan Fabio (Paratici) adalah baik.

“Saya OK dan saya rasa kelab gembira dengan situasi ini. Perkara paling penting ketika ini ialah kedudukan semasa dan masa depan Tottenham selain cuba mendapatkan keputusan yang terbaik.”