Pengurus Inter Milan, Antonio Conte, berkata pihak kelab sedang bekerja keras untuk membantu Alexis Sanchez menemui semula sentuhan emasnya.

Sanchez menyertai Inter menerusi pinjaman jangka panjang daripada Manchester United dalam usaha untuk memulihkan kariernya selepas melalui beberapa musim suram di Old Trafford meskipun sebelum itu menyinar bersama Arsenal.

Namun, penggempur Chile itu hanya tampil selama 17 minit keseluruhan melalui dua perlawanan yang masuk selaku pemain gantian bersama Inter, musim ini.

Conte menjanjikan Sanchez lebih banyak tempoh bermain selepas ini tatkala Inter mahu mengembalikan sentuhan hebat pemain berusia 30 tahun itu.

"Ia bergantung kepadanya untuk menemui sentuhan hebat yang telah hilang," ujar Conte.

"Sanchez adalah pemain yang memiliki beberapa perwatakan. Dia kuat, dan lambat atau cepat, anda akan melihatnya di atas padang.

"Setiap daripada kami memiliki ruang untuk meningkat. Ada yang sangat sukar tetapi ada yang mudah.

"Kami mempunyai ruang untuk meningkat dan tugas saya adalah cuba memperbaiki pemain dalam semua aspek.

"Saya sentiasa mencuba. Kami perlu tingkatkan segalanya dan tidak mengharapkan keajaiban."