TOTTENHAM 2 LEEDS UNITED 1

Antonio Conte sependapat dengan kemarahan penyokong Tottenham berikutan prestasi kurang bermaya anak buahnya dalam separuh masa pertama sebelum bangkit mencipta kemenangan ke atas seteru Liga Perdana Inggeris (EPL), Leeds United, sebentar tadi.


Bekas pengurus Chelsea itu meraikan kemenangan pertamanya sejak kembali ke liga utama England itu yang menyaksikan Pierre-Emile Hojbjerg dan Sergio Reguilon melengkapkan kebangkitan semula 2-1 di utara London.

James terlebih dahulu memberikan Leeds gol pendahuluan dalam babak awal tatkala Spurs muncul pasukan pertama sejak 2003-04 yang mengharungi enam perlawanan berturut-turut EPL tanpa terdaya mengatur sebarang percubaan tepat.

Situasi itu membangkitkan rasa tidak berpuas hati sebilangan penyokong sebelum barisan tuan rumah bertindak balas dengan sewajarnya apabila Hojbjerg menyamakan kedudukan dan terpaan Reguilon selepas sepakan percuma Eric Dier mengenai tiang memastikan kemenangan mereka.

“Kemenangan ini sangat penting memandangkan kami bergelut hari ini,” kata Conte kepada Sky Sports.

"Kami memperagakan dua corak permainan yang berbeza dan dalam separuh masa pertama mereka menewaskan kami dalam aspek taktikal.

"Untuk menentang Leeds dan Marcelo Bielsa bukannya mudah. ​​Kami perlu berasa puas. Ini hanyalah langkah pertama untuk memulakan perjuangan baki musim ini.

"Kami meraikan kemenangan ini kerana saya fikir ia sukar dan kami menyedarinya. Saya sempat membaca statistik Leeds dan mereka adalah kelab pertama yang tampil dengan keamatan tinggi. Dalam babak pertama, kami amat bergelut kerana mereka bermain lebih baik daripada kami, mereka memenangi terjahan dan mendahului permainan. Kami terlalu kerap melepaskan penguasaan bola.





"Dalam separuh masa kedua pula, kami mengubah taktikal dan mula memberi tekanan di setiap kawasan padang. Kami mencipta peluang untuk menjaringkan gol dan mungkin kami layak menjaringkan lebih banyak gol lagi. Yang pasti ia adalah satu kemenangan penting kerana kami memerlukannya.

"Selepas separuh masa pertama, penyokong tidak berpuas hati dengan corak permainan kami dan saya bersetuju dengan mereka. Dalam babak kedua, kami berubah sepenuhnya. Saya mengubah rancangan secara taktikal dan pemain saya mula bermain dengan baik dan dengan personaliti.

"Kami mencipta kesukaran buat Leeds dalam separuh masa kedua dan untuk menang dengan cara ini adalah bagus kerana saya dan pemain saya menampilkan dua sisi yang berbeza dalam setiap babak."

Keputusan itu memastikan Spurs merampas tangga ketujuh daripada Manchester United, empat mata di belakang empat kelab teratas dan 10 mata di belakang pendahulu, Chelsea.

Walaupun pakar taktikal kelahiran Itali itu menganggap mereka kurang bernasib baik, dia tidak melihat mengapa pasukannya tidak boleh mencabar slot Liga Juara-Juara (UCL) tatkala saingan berbaki 26 perlawanan.

“Pastinya kami mahu berjuang dan cuba memperbaiki kedudukan dalam carta liga,” katanya.

"Saya perlu bersikap jujur ​​dengan mengatakan England merupakan liga yang amat sukar dan setiap perlawanan adalah sukar. Anda boleh kehilangan mata ketika bertemu semua pasukan.

“Buat masa ini, terdapat empat pasukan berada di atas kerana banyak sebab –-dibimbing oleh pengurus yang sama mahupun telah melabur banyak wang –- terdapat jurang di antara kami dengan empat pasukan ini tetapi saya tidak gentar.

"Saya percaya kepada anak buah sendiri dan skuad ini. Kami mahu berjuang untuk terus menghambat kedudukan mereka dan bersaing untuk layak ke UCL. Kelak jika ada sesebuah pasukan yang tergelincir pada musim ini atau melakukan kesilapan, kami perlu bersedia untuk cuba melakukan yang terbaik."