Antonio Conte membalas kritikan yang dilemparkan kepada Inter Milan serta penyerangnya, Romelu Lukaku, selepas skuad kendaliannya itu kekal pendahulu Serie A dan berkongsi mata dengan Juventus.

Awal pagi tadi, Lukaku meledakkan dua gol untuk membantu Inter menewaskan Napoli 3-1 di tempat lawan selepas Juve membelasah Cagliari 4-0 dalam aksi sebelum itu.

Selepas menikmati kemenangan ke-100 di pentas Serie A selaku pengendali, Conte menjawab kenyataan mengenai kekuatan serangan balas pasukannya.

"Saya tidak fikir Inter bertahan dan melancarkan serangan balas memandangkan kami cuba memberi tekanan kepada Napoli melalui bahagian tengah di sepanjang perlawanan," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Saya dengar orang ramai sering katakan bahawa kami menampilkan konsep bola sepak serang balas tetapi ini adalah pasukan yang tahu apa yang perlu dilakukan apabila mengawal permainan.

"Kami beraksi sambil tahu apa yang perlu dilakukan di setiap detik dalam perlawanan. Mujur lawan lebih menghormati kami berbanding media.

"Orang ramai berkata kami menang di tempat lawan kerana bertahan terlalu rendah dan melancarkan serangan balas tetapi itu bukan pendekatan kami."

Pemain termahal Inter, Lukaku, mencatat jaringan ke-14 peribadi dalam saingan Serie A musim ini susulan dua gol yang dihasilkan di San Paolo sambil Lautaro Martinez turut meletakkan nama dalam senarai penjaring.

Lukaku menyinar sejak tiba daripada Manchester United, di mana dia hanya mengutip 12 gol dalam liga domestik hasil daripada 32 penampilan musim lalu.

"Saya dengar orang memanggil Lukaku seekor keldai. Saya mendengarnya tidak lama dahulu! Mudah untuk memuji Lukaku ketika ini tetapi jika dilihat beberapa minggu lalu..." kata Conte.

"Saya sering berkata Lukaku merupakan berlian kasar yang perlu diperhalusi. Martinez juga begitu. Mereka berusia 26 dan 22 tahun, masih muda.

"Saya sangat mahukan Lukaku ketika di Chelsea serta Juventus. Saya mahukannya dan kini berpeluang untuk memperhalusi berlian itu."



Editor: Nafis Abdullah