EVERTON 0 TOTTENHAM HOTSPUR 0

Pengurus Tottenham, Antonio Conte, ada sebab berbeza untuk gembira selepas pasukannya terikat 0-0 dengan Everton dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) pertamanya lewat malam tadi.

Dalam aksi di Merseyside itu, Spurs meraih satu mata tanpa dibolosi walaupun boleh berasa lega apabila pengadil, Chris Kavanagh, membatalkan sepakan penalti buat The Toffees dalam babak kedua selepas merujuk kepada video bantuan pengadil (VAR).

Pasukan pelawat itu menghasilkan percubaan yang terkena tiang gol melalui Giovani Lo Celso pada minit ke-88 manakala Everton pula terpaksa beraksi dengan 10 pemain dalam waktu kecederaan, di mana Mason Holgate dilayangkan kad merah hanya berselang sembilan minit selepas dimasukkan.

Walaupun gagal memenangi perlawanan liga pertamanya bersama pasukan itu, Conte berkata masih ada perkara yang menggembirakannya.

"Sejujurnya, saya perlu berasa gembira bagi sebab yang berbeza dan yang pertama adalah bukan mudah untuk menentang Everton di Goodison Park, terutama selepas anda melalui minggu yang intensif. Saya bercakap bagi pihak emosi pemain saya, bukan untuk kelab ini," katanya dalam sidang media.

"Selepas kami beraksi Khamis lalu, saya perlu berasa gembira kerana saya memulakan beberapa situasi taktikal yang sudah pasti kami dapat meningkatkannya dan kami mempunyai banyak ruang untuk meningkat.

"Ia daripada segi situasi, taktikal, fizikal dan juga mental yang berbeza."

Bekas pengurus Chelsea dan Inter Milan itu tidak berpuas hati dengan penampilan jentera serangannya, di mana beberapa gerakan serangan Spurs tersekat dalam perlawanan itu.

Ia juga kali pertama Tottenham gagal merekodkan sebarang percubaan tepat dalam dua perlawanan berturut-turut sejak data itu dikumpulkan Opta bermula musim 2003-04.

"Saya fikir kami melakukan banyak kesilapan sewaktu hantaran terakhir. Jika kami melakukannya dengan cara yang betul, kami mungkin berpeluang untuk menjaringkan gol.

"Saya berkata kepada pemain saya bahawa kami perlu mengenali sesama sendiri dengan lebih baik dan mereka perlu memberikan saya peluang untuk mengenali mereka dengan lebih baik.

"Saya mahu menang dan saya akan memilih pemain yang saya fikir boleh memberikan kami peluang untuk menang," katanya lagi.