Kingsley Coman berkata bahawa hatinya 100 peratus bersama Bayern Munich menjelang perlawanan menentang pasukan zaman remajanya, Paris Saint-Germain (PSG), dalam final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) hujung minggu ini.

Coman dimasukkan daripada bangku pemain simpanan ketika Bayern menewaskan Lyon 3-0 dalam separuh akhir UCL di Lisbon awal pagi tadi.

Pemain berusia 24 tahun itu lahir daripada sistem belia PSG dan melakukan empat penampilan senior sebelum menyertai Juventus dan kemudian Bayern.

Coman berkata dia akan komited dengan Bayern walaupun mempunyai hubungan rapat dengan PSG menjelang aksi final berkenaan.

"Ia poster yang cantik," katanya kepada RMC Sport.

"Hati saya 100 peratus buat Bayern."

Lyon mensia-siakan beberapa peluang sebelum Serge Gnabry menjaringkan dua gol buat Bayern dalam babak pertama dan Robert Lewandowski mengesahkan kemenangan itu pada lewat permainan.

Selepas memenangi lima kejuaraan Bundesliga bersama Bayern, Coman mahu gelaran UCL berada dalam koleksinya.

"Ia momen yang hebat, kami benar-benar mahu ke final. Sekarang anda perlu memenanginya.

"Tugas ini masih belum berakhir, kami perlu memenanginya, jika tidak ia akan menjadi sia-sia.

"Kami sedar ia akan menjadi rumit, mereka bermain dengan kualiti mereka.

"Mujur mereka tidak menjaringkan gol dan kami pula efisien," tambahnya.