Bekas pemain pertahanan Manchester City dan Arsenal, Gael Clichy, bersetuju untuk menyertai kelab Super Lig Turki, Istanbul Basaksehir.

Clichy dilepaskan oleh City sejurus kontraknya tamat sebaik kempen musim lalu berakhir, sekaligus mengakhiri perjalanan kariernya di Stadium Etihad di mana dia memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala Liga Inggeris (EFL) dalam dua musim berbeza.

Basaksehir mengumumkan berita itu menerusi laman Twitter dan Clichy akan menjalani ujian kesihatan dan memuktamadkan kontraknya hari ini.

Butiran perjanjian itu tidak didedahkan, namun laporan di Turki mendakwa pemain berusia 31 tahun itu akan mengikat kontrak selama tiga tahun dengan gaji EUR3 juta setahun.

Clichy akan kembali bergandingan dengan bekas pemain City dan Arsenal, Emmanuel Adebayor, di Basaksehir, manakala bekas tonggak tengah Turki dan Inter Milan, Emre Belozoglu, merupakan ketua pasukan.

Pasukan bimbingan Abdullah Mucib Avci itu merakamkan keputusan mengejut dengan menamatkan saingan Super Lig di tangga kedua untuk mengharungi pusingan ketiga Liga Juara-Juara Eropah.

Pemain muda berumur 19 tahun, Cengiz Under, pula mungkin akan menyertai City.

Persembahan Under pada musim lalu menyaksikan dia dipanggil untuk menganggotai skuad kebangsaan Turki dan pemain tengah menyerang itu telah meledak dua gol dalam empat penampilan.