Sergio Ramos memberikan penghormatan buat pemain tengah Barcelona, Andres Iniesta, yang bakal meninggalkan skuad Blaugrana selepas aksi terakhir legenda Sepanyol itu dalam pertemuan El Clasico.

Iniesta mengetuai Barca buat kali terakhir bertemu Madrid di Camp Nou, Ahad lalu, yang menyaksikan pasukannya diikat 2-2 setelah beraksi 10 pemain ekoran kad merah yang dilayangkan kepada Sergi Roberto.

Tatkala kedua-dua pasukan kecewa gagal mengutip mata penuh, Ramos tetap mengambil peluang untuk memberikan pujian dan penghormatan buat Iniesta yang juga rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan Sepanyol.

"Selain daripada apa yang berlaku di atas padang, aksi pada Ahad akan diingati sebagai Clasico khas buat Iniesta," tulis Ramos melalui akaun Twitter peribadinya sambil memegang jersi rakannya itu.

"Anda akan dirindui, sahabat."

Iniesta dijangka akan berhijrah ke Liga Super China selepas tamat saingan musim ini tetapi kini fokus untuk memastikan Barca menamatkan kempen LaLiga tanpa sebarang kekalahan.