Menjelang pertemuan di antara Manchester United dan Manchester City malam tadi, satu soalan terlintas di minda -- wujudkah pihak yang percaya United berpeluang untuk meraih kemenangan?

Rata-rata peminat bola sepak pastinya tidak percaya, bahkan penyokong United sendiri pun keberatan berbuat demikian.

Ini terbukti dengan mereka melangkah keluar dari stadium tatkala City sudah pun mencatatkan pendahuluan 4-0 dalam separuh masa pertama.

Mungkin pengurus United, Erik Ten Hag, sahaja yang percaya akan peluang pasukannya untuk mencipta keajaiban, namun kepercayaan ini tidak digalas oleh anak-anak buahnya sendiri, menyebabkan dia meluahkan rasa kecewa yang jelas sewaktu temu bual pasca perlawanan.

"Jika kami tidak percaya pada diri, kami pasti akan berhadapan dengan masalah, itulah yang sebenarnya terjadi.

"Kekalahan ini berbeza dengan kekalahan di tangan Brentford (dibelasah 4-0), kerana dalam perlawanan itu, pemain-pemain kami malas untuk berlari.

"Dalam perlawanan ini, kami mahu terus-menerus berlari, tetapi digagalkan oleh kekurangan aspek percaya pada diri sendiri."



Akhbar The Guardian menggambarkan permainan City bagaikan sistem bola sepak digital manakala United pula bagaikan internet 'dial-up' yang terakhir digunakan pada awal tahun 2000.

City adalah pasukan yang dicipta hasil wawasan pemilik yang berpandangan jauh, sumber kewangan yang tidak terhad dan digilap selama 12 tahun lamanya demi mencipta bola sepak yang sempurna.

United pula dihiasi oleh pemain-pemain berbakat tetapi tetap tertakluk dan digolongkan sebagai pasukan 'biasa' pada akhirnya.

Wajarkah United dipersalahkan, dari sudut mana sekalipun?

Mereka berhadapan dengan Erling Haaland, penyerang yang dianggap satu “keajaiban” dan cukup sempurna dalam segala serba-serbi.

Penyerang sempurna ini dibantu pula oleh Kevin De Bruyne, penghantar bola paling jitu bukan sahaja dalam Liga Perdana Inggeris, malah diiktiraf sebagai pemain terbaik dalam tugasnya di seluruh dunia.

Tidak cukup dengan itu, Phil Foden yang baru berusia 22 tahun dilihat cukup menyerlah musim ini, menunjukkan kematangan, ketajaman dan kreativiti luar biasa berbanding musim-musim lalu.

Sejujurnya ia tidak menghairankan mahupun mengejutkan jika aspek kepercayaan diri goyah dalam pemain-pemain United tetapi situasi sebaliknya pula berlaku kepada pemain-pemain City, di mana kepercayaan terhadap diri dan keupayaan sendiri menjurus kepada keajaiban tercipta.

Pada minit ke-36 permainan, pemain sayap City, Jack Grealish, melorongkan bola kepada De Bruyne di tengah-tengah padang.

Hampir serta-merta, De Bruyne dikerumuni tujuh pemain United dari semua arah.

Dalam sejenak masa ini, De Bruyne mempunyai tiga pilihan -- pilihan paling mudah melorongkan bola kepada Foden yang tidak dikawal di sebelah kanan, pilihan kedua melepaskan rembatan kerana cuma pemain pertahanan United, Lisandro Martinez, seorang berdiri di antara De Bruyne dan penjaga gol.



Pilihan ketiga, pilihan yang paling sukar, melorongkan bola kepada Haaland yang diapit di tengah-tengah Raphael Varane dan Scott McTominay, serta berada di sudut yang kurang menguntungkan.

Kepercayaan diri mendorong De Bruyne untuk mengambil pilihan ketiga, kepercayaan diri menyebabkan lorongan tersebut berjaya, kepercayaan diri jugalah menyebabkan kaki Haaland mampu untuk hinggap ke bola dan menyumbat masuk gol yang merupakan jaringan ketiga untuk City.

Setidak-tidaknya, di sebalik segala kecemerkapan dan kegagalan mereka untuk menguasai permainan, United masih lagi berjaya menjaringkan tiga gol.

Mungkin jika pesanan pengurus mereka dipatuhi dan keyakinan terhadap diri dapat dipulihkan, perjalanan untuk kembali menghidupkan pasukan dapat terus disambung.