Pengarah Sukan AS Roma, Monchi, menyifatkan Manchester City sebagai pasukan terkuat yang masih berada dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini, namun bersedia menerima sebarang undian suku akhir.

Skuad kendalian Eusebio Di Francesco itu melepasi halangan Shaktar Donetsk menerusi peraturan gol di tempat lawan untuk berada dalam kelompok lapan terbaik, sekali gus berkemungkinan akan bertemu anak didik Pep Guardiola itu.

Monchi percaya bahawa City berupaya memberikan ancaman utama walaupun sedar pasukan juara bertahan, Real Madrid, tidak boleh diabaikan.

"Sukar untuk mengetahui siapa yang terbaik. Semua pasukan sukar.

"Madrid sudah membuktikan kewibawaan mereka dalam beberapa tahun tetapi bagi saya, City paling kuat.

"Saya rasa kelebihan kami ketika ini adalah kekuatan mental dan tenang menunggu lawan seterusnya," kata Monchi.

Monchi merupakan seorang penjaga gol ketika bergelar pemain dan dia kini memuji aksi Alisson.

"Dia seorang yang bagus. Alisson sentiasa tenang dan mengawal kubu Roma dengan baik," ujarnya mengenai pemain yang dikaitkan dengan perpindahan ke Liverpool itu.