Pengurus Arsenal, Unai Emery, mengakui Manchester City mempamerkan kehebatan sebenar ketika pasukannya tewas 3-1 di tangan juara bertahan itu dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Etihad, awal pagi tadi.

The Gunners ketinggalan menerusi jaringan Sergio Aguero ketika aksi berusia 46 saat tetapi melawan menerusi gol penyamaan Laurent Koscielny.

Bagaimanapun, Aguero menyinar dengan melengkapkan hatrik untuk membuatkan pelawat kecewa dan jatuh ke tangga keenam liga memandangkan Manchester United dan Chelsea masing-masing meraih kemenangan.

"Mereka menunjukkan kualiti hebat yang dimiliki sepanjang 90 minit," kata Emery.

"Dalam 45 minit pertama, kami bertahan bersama dan mempunyai beberapa peluang untuk melakukan serangan balas.

"Namun, selepas kedudukan berubah 2-1, City mula mempamerkan taring sebenar. Kami tidak boleh bertahan dengan baik dan tidak diberikan peluang di dalam kotak penalti mereka.

"City mengawal 90 minit permainan dan tahap kami selepas rehat jauh lebih buruk berbanding di permulaan.

"Dalam babak pertama, kami sentiasa berdisiplin sehingga dapat mencetuskan pergerakan.

"Kami yakin ketika kedudukan 1-1 tetapi sebaik sahaja bermula separuh masa kedua, mentaliti kami jelas seperti tidak mahu memenangi perlawanan."