Antonio Conte percaya Manchester City boleh menjadi pasukan pertama meraih 100 mata dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kemenangan 3-0 ke atas Arsenal, Khamis lalu, menyaksikan mereka hanya memerlukan lima kemenangan lagi untuk merangkul kejuaraan EPL.

Chelsea memegang rekod selaku pasukan yang meraih paling banyak mata dalam semusim -- 95 mata --ketika dikendalikan Jose Mourinho pada 2004-05 tetapi skuad Pep Guardiola itu dilihat berada di landasan untuk memintas rekod tersebut, setelah mengutip 75 mata dan berbaki 10 perlawanan.

Musim lalu, Conte dan Chelsea muncul juara dengan 93 mata dan beliau berasakan City mampu mencipta sejarah dengan melepasi 100 mata.

"Jika terus bersaing, mereka mampu melakukannya," kata Conte.

"City memiliki barisan pemain yang berkualiti. Selepas mencipta kemenangan ke atas Arsenal dalam aksi final Piala Carabao dan EPL, mereka membuktikan keinginan untuk menang dalam setiap perlawanan. Ia menunjukkan mentaliti dan semangat pasukan itu untuk meraih keputusan yang positif."

Conte dan Chelsea bakal berkunjung ke Stadium Etihad esok dalam keadaan yang terdesak mencari mata untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik liga.

Selepas tewas dalam dua aksi EPL, seri 1-1 dengan Barcelona dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) dan tewas 2-1 kepada Manchester United, pengendali kelahiran Itali terus optimis bahawa pasukannya mampu mengakhiri musim ini dengan baik.

"Kami telah bermain dengan baik. Tetapi saya berasakan tuah tidak memihak kami ketika bertemu United.

"Berdepan Barcelona, kami telah mempamerkan persembahan terbaik dan kami akan mengulanginya ketika bertemu City," ujarnya lagi.