MANCHESTER CITY 1 BASEL 2
(City menang 5-2 secara agregat)

Manchester City mara ke suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) di sebalik tewas 2-1 di laman sendiri kepada Basel, awal pagi tadi.


Selepas melakar kemenangan selesa 4-0 di Switzerland dalam aksi pertama tiga minggu lalu, The Citizens bergelut selepas melakukan sembilan pertukaran dalam kesebelasan utama, yang menyaksikan mereka tewas buat kali pertama di laman sendiri sejak Disember 2016.

Pengurus, PepGuardiola, mengambil keputusan untuk merehatkan Kevin De Bruyne, Sergio Aguero, Ederson dan David Silva, dengan Phil Foden dipilih sebagai pemain Inggeris paling muda untuk beraksi dalam saingan kalah mati UCL.

Foden dan Yaya Toure bergelut untuk mengawal permainan di bahagian tengah tetapi berjaya membuka jaringan menerusi Leroy Sane -- gol pertama buat pemain kebangsaan Jerman itu selepas kembali pulih daripada kecederaan buku lali.

Basel bangkit untuk meraih kemenangan di Stadium Etihad, dengan Mohamed Elyounoussi mengimbangi gol pembukaan City sebelum melakukan umpanan kepada Michael Lang untuk memberikan sedikit kegembiraan selepas tersingkir daripada saingan UCL.