Penyerang Kuala Lumpur, Zaquan Adha Abdul Radzak, menyifatkan aksi cemerlangnya ketika membantu pasukan menewaskan Kedah 4-3 malam tadi adalah hasil semangat juang sepasukan.

Begitupun, bekas penyerang Perak itu mengakui skuad The City Boys perlu meneruskan perjuangan dalam mengukuhkan kedudukan dalam Liga Super.

Bagi Zaquan, selepas ini mereka perlu konsisten dalam setiap perlawanan liga agar tidak berada dalam kelompok bawahan.

Oleh itu, Zaquan menyarankan rakan sepasukannya supaya menjadikan kemenangan ke atas Lang Merah sebagai pembakar semangat dan tampil lebih ampuh selepas ini.

"Kami tahu kami bermain dengan pasukan yang hebat. Apabila kita menentang pasukan hebat, kita pun jadi hebat.

"Jadi, kami tidak boleh bersikap sambil lewa dan ia menjadi motivasi tinggi untuk Kuala Lumpur semalam. Ia seperti perlawanan menentang JDT (Johor Darul Ta'zim) yang lalu," kata Zaquan.

Aksi di Cheras malam tadi menyaksikan Zaquan memainkan watak penting dengan mencetak gol pertama pada minit ketiga serta turut memenangi penalti pada minit ke-60.

Pengendali Kuala Lumpur, Fabio Maciel, pula menyifatkan kemenangan ke atas Kedah serta JDT dalam Liga Super sebelum ini membuktikan barisan anak buahnya mempunyai kualiti bersaing di peringkat tertinggi.

"Jika ada yang kata ini perlawanan mudah, mereka tidak tahu bola sepak.

"Berapa lama Kuala Lumpur tidak bermain dalam Liga Super?

"Perkara paling utama, kami perlu mengekalkan prestasi, malah kami menewaskan Kedah dan juara tahun lalu (JDT). Ini menunjukkan kami mempunyai kualiti," ujar jurulatih dari Brazil itu.

Pengendali Kedah, Ramon Marcote, seakan-akan sukar mempercayai kekalahan pasukannya kepada Kuala Lumpur.

Biarpun ketinggalan dengan jaringan awal tuan rumah, skuad Hijau Kuning memimpin permainan 2-1, kemudian mengikat kedudukan 3-3 sebelum jaringan kemenangan Kuala Lumpur hadir menerusi Ashri Chuchu pada masa kecederaan.

Bagi Marcote, gol yang dibolosi Kedah itu adalah berpunca daripada kesilapan individu.

Ketua pasukan, Khairul Helmi Johari, turut melakukan dua kesilapan yang memberi ruang buat dua gol Kuala Lumpur.