Setiausaha Agung, Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa, tidak menolak kemungkinan jodoh merea dengan awang import Kuala Lumpur, Junior Aparecido De Sauza, tidak akan berpanjangan sehingga ke akhir musim.

Nokman tidak menyembunyikan rasa tidak puas hati pengurusan KLFA terhadap prestasi pemain kelahiran Brazil itu sejak awal musim ini.

Namun, KLFA hanya akan menamatkan kontrak De Sauza mengikut saluran betul bagi berlaku adil kepada pemain itu sebaik jendela perpindahan kedua liga dibuka Mei depan.

Bekas tonggak import Selangor dan Sarawak itu sebelum ini sudah direhatkan pengendali pasukan, Fabio Maciel, dalam beberapa perlawanan.

"Kami perlu menggantikan Junior. Kalau kita tengok aksinya dalam beberapa perlawanan, sentuhannya tidak berapa menarik.

"Kami sudah berbincang dengan pengurusan dan jurulatih, kami minta untuk mendapatkan pemain baru.

"Cuma, saya perlu tengok kontrak dan berbincang dengan ejennya soal pampasan," katanya.

Setakat ini, KLFA belum memutuskan calon import bagi menggantikan kelibat De Sauza dan Nokman mengesahkan persatuan itu turut bersedia mempertimbangkan awang import yang berpengalaman dalam saingan Liga Super sebelum ini.

Dalam perkembangan sama, KLFA akan turut meminjamkan beberapa pemain muda mereka ke pasukan lain serta menaikkan beberapa pemain berpotensi daripada skuad Piala Presiden selepas ini.

"Kami sebenarnya merancang untuk mengekalkan pemain tempatan, mungkin kami akan bincang dengan sebahagian daripada mereka (untuk dihantar ke luar) sebab mereka tidak bermain.

"Sayanglah kalau tidak bermain dalam pasukan. Ia bagi memberikan mereka peluang bermain dan tahun hadapan, kami akan mengambil mereka semula," katanya lagi.