Diego Godin tertarik untuk menandatangani kontrak dengan Inter Milan selepas melihat cita-cita tinggi projek sukan yang dipamerkan pasukan itu.

Skuad The Nerazzurri tidak memenangi trofi sejak 2011 tatkala Juventus menikmati dominasi bola sepak Itali dalam tempoh yang panjang.

Namun, Godin yakin hari-hari terbaik akan kembali ke Inter selepas menandatangani perjanjian selama tiga tahun susulan kontraknya bersama Atletico Madrid tamat.

Pemain Uruguay berusia 33 tahun itu menghabiskan tempoh selama sembilan tahun di Atletico, membantu mereka menjulang trofi LaLiga bagi musim 2013-14 dan dua kali meraih kejuaraan Liga Europa.

"Saya memilih Inter kerana ia adalah kelab hebat bersama sejarah indah serta keinginan untuk meraih kejayaan besar," katanya.

"Saya akan cuba untuk memberikan segala-galanya di dalam dan di luar padang.

"Saya mahu membantu rakan sepasukan dan kelab untuk mencapai kejayaan bear. Saya pilih Inter kerana mereka memiliki cita-cita tinggi dalam projek sukan.

"Mereka mahu kembali menjulang kejuaraan dan merupakan kelab hebat di Eropah serta seluruh dunia. Saya menyertai Inter untuk menang, memberika segala-galanya, menyerahkan kudrat dan berjuang di dalam dan di luar padang."

Godin juga mendedahkan rakan senegara, Matias Vecino, memainkan peranan dalam meyakinkannya untuk menyertai Inter.

"Dia memberitahu saya perkara hebat tentang bandar dan pasukan, terutama mengenai cita-cita dan objektif kelab," tambahnya.

"Saya tidak sabar untuk bermula dan pastinya hebat memiliki rakan dalam bilik persalinan. Ia adalah permulaan cabaran dan pengalaman baru buat saya.

"Saya mempunyai keinginan besar untuk terus bersaing di peringkat tertinggi, tidak kira di dalam atau di luar padang, bagi membantu kelab hebat ini mencapai kejayaan besar."