Pemain antarabangsa Jerman, Leon Goretzka, menandatangani kontrak jangka panjang baru dengan Bayern semalam.

Masa depan pemain berusia 26 tahun itu menjadi tajuk spekulasi memandangkan perjanjian asalnya bakal berakhir Jun depan sebelum terus komited untuk kekal bersama juara Bundesliga berkenaan dengan kontrak baru hingga Jun 2026.

Pemain tengah itu memberitahu laman sesawang rasmi kelab: "Kami telah menjulang semua kejuaraan yang ada dalam tiga tahun terakhir. Tetapi apa yang lebih baik daripada memenangi gelaran adalah mengesahkan dan mengulangi kejayaan ini.

"Kami ingin mengembangkannya dalam beberapa tahun mendatang. Pasukan, kelab dan persekitaran di sini bukan hanya sangat profesional malah turut akrab.

"Ramuan inilah menjadi salah satu tunjang yang menjamin kejayaan di kelab ini. Saya sangat gembira dapat melanjutkan kontrak sehingga 2026."

Goretzka menyertai gergasi Bavaria berkenaan daripada Schalke pada 2018 dan sejak itu telah memenangi tiga gelaran Bundesliga, Liga Juara-Juara dan dua DFB Pokal.

Dia turut menjulang tiga DFL Supercup, Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab FIFA pada 2020.

Goretzka telah menyumbangkan 25 gol dalam 118 perlawanan buat Bayern dan mengesahkan kesepakatannya selepas membantu mereka meraih kemenangan 3-0 ke atas Barcelona dalam Liga Juara-Juara, kelmarin.




Ketua Eksekutif Bayern, Oliver Kahn, berkata: "Sangat penting untuk kemajuan FC Bayern agar kami dapat mengekalkan prestasi terbaik kami dalam jangka panjang.

"Untuk berjaya sebagai kelab, kami memerlukan pemain yang terus bermotivasi dan Leon Goretzka tidak perlu diberitahu tentangnya. Dia sentiasa ingin memperbaiki diri dan memiliki cita-cita untuk membentuk era bersama FC Bayern.

"Lanjutan kontrak ini juga merupakan petanda bahawa Leon yakin kami akan terus berjaya pada masa depan seperti yang kami kecapi pada masa lalu."