Ketua jurulatih RB Leipzig, Julian Nagelsmann, membandingkan Brian Brobbey dengan bintang Inter, Romelu Lukaku selepas kelab Bundesliga itu bersetuju untuk menandatangani bintang sensasi dari Ajax itu.

Brobbey akan menyertai skuad Leipzig kendalian Nagelsmann secara percuma pada penghujung musim ini selepas bersetuju dengan kontrak empat tahun sehingga 2025.

Gergasi Eredivisie, Ajax, berusaha untuk mengekalkan Brobbey, tetapi pemain berusia 19 itu telah memilih untuk berhijrah ke Leipzig.

Brobbey, yang membuat debut senior buat Ajax Oktober lalu, menjaringkan dua gol dalam tujuh penampilan sebagai pemain gantian dalam saingan Eredivisie musim ini, dan meledak bilangan gol yang sama dalam saingan Liga Europa 2020-21.

Nagelsmann membandingkan Brobbey dengan penyerang Inter, Lukaku, setelah ditanya mengenai persamaan antara kedua pemain itu.

"Sukar bagi pemain jika dibandingkan dengan pemain lain kerana jangkaan yang tinggi mula timbul sekaligus tekanan bagi pemain tersebut," kata Nagelsmann.

"Dengan kekuatan fizikal dan cara bermain, dia mirip dengan Romelu Lukaku. Dan kami juga bergembira jika dia dapat menjadi pemain yang memiliki kualiti yang sama.
Namun dia sekadar mirip, kami akan berusaha untuk membentuknya menjadi pemain yang berkualiti dan penting bagi bola sepak Eropah."

Selepas pengumuman semalam, Brobbey berkata, "RB Leipzig adalah kelab yang bagus dan mengharungi musim cemerlang. Julian Nagelsmann masih muda dan seorang jurulatih yang bagus, saya mahu belajar daripadanya.

"Pasukan ini seimbang dan memiliki kesatuan yang tinggi. Saya tidak sabar untuk bersama pasukan dan membantu mereka untuk berjaya."