Penjaga gol Barcelona, Jasper Cillessen, menafikan bakal berpindah ke Crystal Palace sambil berikrar akan merebut tempat di Camp Nou pada musim depan.

Cillessen dikaitkan dengan perpindahan ke Liga perdana Inggeris (EPL) untuk bergabung semula dengan bekas mentor, Frank De Boer, yang kini menggalas tugas pengurus di Selhurst Park.

Penjaga gol berusia 28 tahun itu hanya tampil sekali dalam kesebelasan utama musim lalu selepas akur dengan Marc-Andre ter Stegen selaku pilihan utama.

Bagaimanapun, perkara tersebut tidak menjadi sebab untuknya meninggalkan kelab gergasi Sepanyol itu.

“Saya tidak berbincang dengan Frank.

“Saya tidak akan pergi kerana amat gembira berada di sini (Camp Nou),” ujarnya.

Cillessen, yang juga merupakan penjaga gol nombor satu Belanda, tidak perlu meninggalkan Barcelona selepas diyakinkan sendiri oleh jurulatih, Dick Advocaat.

“Saya ada berbual dengan pengendali baru Belanda, dia menjelaskan kualiti harus ditunjukkan setiap hari dan itu yang saya lakukan.

“Saya mahu bermain lebih banyak tetapi ia bergantung kepada Ernesto Valverde (pengurus Barcelona) untuk menentukannya,” katanya.