Christian Benteke berkelana ke D.C. United sebaik memutuskan untuk mengakhiri jodoh bersama Crystal Palace apabila menyertai Wayne Rooney dalam Liga Bolasepak Utama (MLS).

Penyerang berusia 31 tahun itu memeterai kontrak selama dua setengah tahun di ibu negara Amerika Syarikat (AS) berkenaan selepas 280 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menyaksikannya menjaringkan 86 gol.

Dia tiba di England 10 tahun lalu dengan menyertai Aston Villa dari kelab Belgium, Genk, sebelum merekodkan 42 gol dalam 89 penampilan EPL buat kelab Midlands itu.

Sentuhan berbisanya mencetus minat Liverpool tetapi dia hanya mampu menyumbangkan sembilan gol liga buat The Reds sebelum berpindah ke Palace pada 2016.

Walaupun meledak 15 gol dalam kempen pertamanya di Selhurst Park, pemain antarabangsa Belgium itu terus bergelut untuk mengulangi prestasinya ketika di Aston Villa.




D.C. United menduduki tangga terbawah Persidangan Timur dan bekas penyerang Manchester United, Rooney, telah menduduki kerusi panas itu sejak pemecatan Hernan Losada bulan lalu.

Justeru, Rooney gembira kerana dapat membawa masuk pemain berkualiti seperti Benteke dengan memberitahu laman sesawang kelab: "Christian adalah pemain terbaik yang pernah bermain di peringkat tertinggi untuk tempoh yang lama.

"Pengalaman dan keupayaannya untuk menjaringkan gol dan membantu pasukan akan menjadi aset yang tidak ternilai.

"Ia mengujakan pasukan dan saya sendiri untuk mendapatkan khidmatnya dan mempertaruhkannya. Dia mampu membawa perubahan yang besar."