Antonio Conte mempertahankan Andreas Christensen dan menyalahkan pertembungan dengan Barcelona dalam Liga Juara-Juara (UCL) menjejaskan krebiliti pertahanan itu sebagai calon ketua pasukan Chelsea pada masa depan.

Pemain antarabangsa Denmark itu dipersalahkan atas gol penyamaan Lionel Messi di Stamford Bridge, awal pagi Rabu lalu, selepas hantarannya dipintas Andres Iniesta.

Ia adalah kesilapan yang jarang dilakukan pemain berusia 21 tahun itu dalam musim luar biasanya yang menyaksikannya beraksi 25 kali dalam kesebelasan utama.

Conte menegaskan dia sudah melupakan insiden itu sambil melabel Christensen sebagai pewaris lilitan kapten The Blues.

"Sepanjang karier, anda boleh membuat banyak kesilapan. Jika saya terpaksa bercakap tentang kesilapan saya semasa bergelar pemain, kita akan berada di sini sepanjang hari," kata pengurus dari Itali itu kepada pemberita.

"Christensen mengharungi musim yang hebat dan menunjukkan kematangan yang hebat.

"Bagi saya, selain kesilapannya, prestasinya (menghadapi Barcelona) sangat bagus, saya percayakan Christensen.

"Dia boleh berada di sini selama 10, 12 tahun, saya rasa dia boleh menjadi kapten."

Christensen menandatangani kontrak bersama Chelsea pada 2012 dan telah tampil 14 kali untuk Denmark.