Juventus boleh mengharapkan sesuatu yang lebih besar daripada Federico Chiesa selepas pemain kebangsaan Itali itu membuka akaun jaringannya bersama kelab itu minggu ini, kata Andrea Pirlo.

Pemain berusia 23 tahun itu bergelut pada awal tempoh pinjaman dua tahunnya daripada Fiorentina sejak Oktober lalu -- Juve boleh melengkapkan pinjaman secara tetap dengan yuran dilaporkan bernilai €50 juta (RM246.1 juta) seandainya beberapa syarat yang ditetapkan dipenuhi.

Dia dilayangkan kad merah dalam penampilan pertamanya ketika menentang Crotone dan gagal menemui jaringan dalam tujuh penampilan Serie A dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas itu.

Dalam tiga perlawanan selaku kesebelasan utama dan satu sebagai pemain gantian liga divisyen utama Itali itu, dia hanya merekodkan dua percubaan selain turut mencatatkan rekod ketepatan hantaran dan gelecekan kedua terburuk buat skuad Bianconeri itu.

Bagaimanapun, dia merekodkan tiga bantuan jaringan daripada enam peluang yang dijananya buat rakan sepasukannya sepanjang tempoh itu.

Chiesa akhirnya mendaftarkan gol pertamanya bersama Juve ketika menewaskan Dynamo Kiev 3-0 pada Rabu lalu dan Pirlo menjangkakan sesuatu yang lebih besar akan dipamerkan pemain muda itu di Stadium Allianz.

"Saya meminta banyak perkara daripada Chiesa," kata Pirlo kepada Juventus TV menjelang perlawanan 'derby' menentang Torino awal pagi esok.

"Dia melakukannya dengan baik. Bukan mudah untuk menyesuaikan diri daripada Fiorentina kepada Juventus tetapi dia sorang pemain muda yang baik.

"Dia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri tetapi dia kini sedang berkembang sejak tiba di sini dengan kontroversi dan bebanan yang dipikulnya," katanya.

Pirlo berpeluang untuk menjadi jurulatih pertama tidak tewas dalam 10 perlawanan pertama Serie A sejak format kejohanan itu diubah kepada tiga mata bagi setiap kemenangan pada 1994.

Dalam proses itu, dia akan menghadapi cabaran Torino, yang hanya meraih enam mata daripada sembilan perlawanan musim ini -- rekod permulaan terburuk mereka sejak musim 2002-03.