Bintang Juventus Federico Chiesa akan menjalani pembedahan dalam beberapa hari akan datang kerana kecederaan ligamen lutut (ACL).

Pemain antarabangsa Itali itu cedera dalam kemenangan mendebarkan aksi Serie A 4-3 ke atas Roma bimbingan Jose Mourinho Ahad lalu.

Pemain sayap itu mengalami apa yang disifatkan Juve sebagai 'trauma tumpul' pada lutut kirinya, yang menyebabkan dia memerlukan tongkat untuk pergi ke pusat perubatan kelab semalam.

"Ujian diagnostik yang dilakukan pagi ini di J|Medical mendedahkan kecederaan pada ligamen," kata kenyataan Juve.

"Pemain itu perlu menjalani pembedahan dalam beberapa hari akan datang."

Chiesa berkemungkinan terlepas baki musim ini dalam apa yang menjadi tamparan hebat kepada pasukan Massimiliano Allegri.

Bianconeri, yang menentang Inter dalam Supercoppa Italiana pada hari Rabu, 11 mata di belakang juara pendahulu liga Inter.

Mereka meneruskan cabaran untuk mempertahankan trofi Coppa Italia menentang Sampdoria minggu depan, manakala perlawanan pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang Villarreal bermula bulan depan.

Kecederaan Chiesa turut menjejaskan harapan Itali dalam kelayakan Piala Dunia 2022.

Juara Eropah itu berdepan Macedonia Utara dalam play-off separuh akhir dan kemudian akan bertemu antara Turki atau Portugal bagi menempah slot ke Qatar.