Pertahanan Juventus, Giorgio Chiellini, disahkan mengalami kecederaan otot lutut kiri selepas hanya beraksi selama 11 minit ketika tewas 1-0 kepada Napoli dalam saingan Serie A hujung minggu lalu.

Pemain kebangsaan Itali itu digantikan dengan Stephan Lichtsteiner pada awal permainan tetapi tunduk dengan jaringan Kalidou Koulibaly pada minit ke-90 di Turin.

Penilaian yang dilakukan semalam mengesahkan terdapat otot yang koyak dan kelab mendedahkan pemain berusia 33 tahun itu telah mula mendapatkan rawatan.

Kekalahan Juve kepada Napoli menyaksikan mereka hanya memiliki kelebihan satu mata ke atas skuad kendalian Maurizio Sarri itu dengan berbaki empat perlawanan dan ketiadaan Chiellini bakal memberikan impak besar dalam usaha mereka untuk meraih Scudetto buat kali ketujuh.

Skuad Bianconeri itu akan berdepan Inter, Bologna, Roma dan Verona sebelum penghujung musim, termasuk aksi final Coppa Italia dengan AC Milan.