Giorgio Chiellini, seperti yang dijangka, telah melanjutkan kontrak selama dua tahun bersama Juventus.

Kontrak pemain berusia 36 tahun itu sepatutnya tamat pada penghujung Jun lalu selepas 17 tahun berkhidmat bersama kelab berkenaan.

Ejennya, yang menyifatkan persaraan pemain itu selepas memenangi Euro 2020 sebagai satu perkara gila, pernah berkata bahawa Chiellini terbuka untuk berbincang dengan mana-mana kelab selain Juve.

Walaupun ramai sudah dapat rasakan bahawa dia akan menandatangani kontrak baru di Turin, pengumuman terbaru itu sudah pasti memadamkan segala keraguan mengenai masa depan pemain veteran itu.

Kesepakatan baru itu turut menjadi gambaran bahawa Chiellini bersedia untuk mewakili Itali dalam Piala Dunia Qatar 2022 selepas memacu kejayaan Azzurri memenangi Euro 2020.

Prestasinya dalam kejohanan itu telah menjadi bukti betapa dia masih berada di tahap terbaik, di mana aksi dominannya telah meyaksikan Itali bukan sahaja mempamerkan aksi menghiburkan, malah turut kelihatan kukuh di bahagian pertahanan.

Dia merupakan watak penting ketika Itali menewaskan England dalam penentuan penalti perlawanan akhir selepas terikat 1-1 sepanjang 120 minit.

Chiellini telah melakukan 535 penampilan bersama Juve sejak menyertai pasukan itu pada 2004 selain pernah mewakili negaranya sebanyak 112 kali.

Sepanjang tempoh itu, dia telah memenangi Scudetto sebanyak sembilan kali selain lima kejuaraan Coppa Italia.