Giorgio Chiellini berasakan Juventus bertambah baik dalam tempoh dua tahun sejak kekalahan perlawanan akhir Liga Juara-Juara tetapi dia masih berhati-hati dengan ancaman penyandang juara, Real Madrid.

Juve ditewaskan 1-3 oleh Barcelona dalam aksi 2015, dengan Chiellini terpaksa berehat akibat kecederaan ketika pasukannya dibenam di Berlin.

Bagaimanapun, skuad Bianconeri menyingkirkan Barca dalam peringkat suku akhir pertandingan musim ini dan bek tengah berpengalaman itu yakin dengan peluang mereka walaupun berdepan Real di Cardiff.

"Permulaan kami dalam perlawanan itu akan menjadi penting," kata Chiellini dalam sidang akhbar. "Kami perlu lebih tersusun -- penting dalam permainan tunggal dan ia memberi peluang terbaik untuk membaca permainan.

"Kami bertemu pasukan yang telah memenangi trofi ini dua kali dalam tempoh tiga tahun lalu. Mereka lebih berbahaya, kerana sesudah anda fikir anda menemui rentak, mereka menyerang.

"Kami rasa kami bertambah baik dalam tempoh dua tahun lalu tetapi kunci kepada segala-galanya adalah kesanggupan kami melakukan dengan lebih bersungguh-sungguh.

"Dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara, anda perlu lakukan perkara asas dengan baik tetapi anda juga perlu pergi lebih tinggi dan jauh."

Chiellini fikir Juve telah belajar daripada kekalahan 2015, di mana dia mengaitkan aksi mengecewakan dengan rasa gementar pada separuh masa pertama.

"Kami akan menggunakan pengalaman kami dari Berlin dua tahun lalu untuk membina perlawanan akhir ini," katanya. "Ini adalah final kedua kami dalam tempoh tiga tahun dan yang pasti, ia bermakna.

"Kami akan kekal tenang minggu ini. Kami terlalu tegang pada permulaan dalam final 2015 dan kami dibolosi pada separuh pertama. Malah, apabila kami kembali ke dalam perlawanan, mereka bertindak balas kerana kami terlalu terdedah dengan gaya bertahan.

"Kami tidak mahu membuat kesilapan yang sama dua kali di sebalik saya cenderung untuk mengambil positif daripada pengalaman lalu walaupun tidak berpuas hati."