Jurulatih Russia, Stanislav Cherchesov, akan diangkat selaku 'dewa' hari ini sekiranya berjaya membuat Fernando Hierro dan Sepanyol menanggung derita.

Cherchesov mengawal pintu gol ketika Spartak Moscow mengecewakan Real Madrid yang turut membariskan Hierro yang masih muda dalam kempen Liga Juara-Juara (UCL) 1991 menerusi kemenangan agregat 3-1.

Pasangan itu akan kembali berseteru dalam kempen Piala Dunia 2018 apabila tuan rumah, Russia, bersedia menghadapi Sepanyol dalam pusingan 16 di Moscow. Lantaran itu, Cherchesov berharap untuk mengulangi pencapaiannya.

Beliau berkata: "Pada masa itu, Sepanyol merupakan pasukan kegemaran tetapi pepatah Russia ada mengatakan, 'sesiapa sahaja boleh menjadi dewa jika dia mencuba'.

"Fernando Hierro adalah pemain yang baik dan sekarang dia seorang jurulatih yang baik.

"Kami menang menentang pasukan Sepanyol dan berharap pada malam ini, kami dapat mengulangi kejayaan itu dan membuktikan nilai kami," katanya.

Cherchesov menafikan wujud tekanan tambahan kepadanya atau pasukannya untuk beraksi di hadapan 78,000 penyokong di Stadium Luzhniki.

Dia berkata: "Jelas sekali ini adalah perlawanan hidup atau mati, hanya satu pasukan yang akan layak.

"Ia bukan satu tekanan tetapi merupakan tanggungjawab, Sepanyol berasakannya, begitu juga Russia."

Russia dan Sepanyol seri 3-3 dalam aksi persahabatan, November lalu, namun Cherchesov percaya pemecatan Julen Lopetegui -- sehari sebelum kejohanan bermula kerana gagal memaklumkan kepada Persatuan Bolasepak Sepanyol bahawa dia telah mengadakan rundingan dengan Real Madrid -- dan pelantikan Hierro, telah mendorong lawan mereka mengubah pendekatan.

"Mereka telah mengubah sedikit permainan mereka," katanya. "Pemainnya adalah sama, namun corak permainan mereka berbeza. Selepas 20 minit pertama (menentang Portugal), mereka mengubah taktik dan kami telah menganalisisnya.

"Russia telah berubah sejak November lalu kerana kami terpaksa. Kami kehilangan tiga pemain utama dalam perlawanan pertama.

"Dengan semua perubahan yang dibuat, kami mencapai kejayaan yang sederhana," ujarnya.

Denis Cheryshev, yang menghabiskan keseluruhannya kariernya di Sepanyol, memainkan watak utama dengan meledak tiga gol.

Dia tampil beberapa kali bersama Real Madrid sebelum dipinjamkan ke Sevilla, Villarreal dan Valencia. Dia kemudian menyertai Yellow Submarine dengan perjanjian tetap selama dua tahun, tahun lalu.

Ditanya bagaimana hidupnya akan berubah jika dia menjaringkan gol kemenangan dan menyingkirkan Sepanyol, dia berkata: "Saya fikir hidup ini akan tetap diteruskan, tiada apa yang akan berubah.

"Apa yang paling penting, kami dapat meneruskan kempen dalam Piala Dunia dan jika saya menjaringkan gol, saya akan berasa sangat gembira tetapi saya akan lebih bahagia jika kami kekal dalam kejohanan ini."

Pemain berusia 27 tahun itu mengakui sukar untuk menewaskan Sepanyol yang dianggap pasukan pilihan untuk memenangi gelaran paling berprestij ini, namun dia menegaskan Russia tidak seharusnya diperkecilkan.

"Sepanyol mempunyai beberapa pemain hebat, mereka mungkin pasukan terbaik di dunia tetapi mana-mana pasukan pun boleh mengalahkan yang lain," katanya.

"Saya ulangi mereka sangat bagus. Mereka beraksi dengan baik tetapi kami juga mempunyai kekuatan, saya fikir kami boleh menang ke atas sesiapa jua dan itulah yang perlu kami fikirkan."