Jurulatih negara Tan Cheng Hoe, menuntut aksi terbaik daripada pemain muda andai ada kejutan yang berlaku dalam membariskan mereka ketika berdepan Sri Lanka dalam aksi persahabatan malam esok.

Lupakan seketika perbezaan pemain senior dan pemain muda, malah Cheng Hoe menegaskan jika mana-mana pemain diberikan peluang, ia perlu dilunaskan dengan prestasi cemerlang.

Itu amaran jurulatih berkenaan sebaik mengesahkan dua pemain utama, Nor Azam Azih dan J. Partiban, tiada dalam perancangannya esok selain Shahrel Fikri Md Fauzi juga terlepas daripada aksi persahabatan dengan Sri Lanka.

"Setiap pemain akan diberikan peluang dan apa yang saya beritahu sebelum ini, mereka yang terpilih untuk beraksi haruslah tidak tertekan, sebaliknya berusaha menampilkan aksi terbaik," katanya.

Cheng Hoe yang berhadapan dengan masalah kecederaan mengharapkan nasib lebih baik mampu berlaku kepadanya, apatah lagi keutamaan sebenar adalah kemenangan ke atas Vietnam di Hanoi dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Khamis depan.

"Buat masa ini, Shahrel merupakan antara pemain terbaru dibelenggu masalah kecederaan. Saya enggan mengambil risiko menurunkan pemain yang mengalami kecederaan," katanya.