Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, mengakui kecewa dengan kegagalan anak buahnya membawa pulang tiga mata penuh ketika seri 1-1 menentang Felda United dalam aksi Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam tadi.

Katanya, berdasarkan kepada peluang terbaik, terutama menerusi percubaan Baddrol Bakhtiar dan Sandro da Silva, Kedah sepatutnya mampu menewaskan pasukan tuan rumah.

"Kecewa sedikit kerana kami bermain begitu baik dan kami hampir memenangi perlawanan ini. Cuma tiang yang menghalang kami untuk mengutip mata penuh."

Bagaimanapun, lain pula reaksi jurulatih Felda, Azmi Mohamed, yang menyifatkan ia sebagai keputusan wajar.

Hanya kegusaran Azmi lebih terarah kepada prestasi lemah jentera serangannya yang belum mencapai tahap yang dimahukan.

"Gandingan Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) dan Gaston (Cellerino) memerlukan keserasian. Kami berharap mereka dapat membentuk kerjasama terbaik dengan segera," katanya.

Selepas mengharungi tiga perlawanan Liga Super, ia nyata masih terlalu awal buat kedua-dua pasukan menilai prestasi sebenar dalam saingan musim ini.

Dalam dua perlawanan sebelum ini, Felda menewaskan PKNS FC 1-0 dan tewas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) 3-1.

Kedah pula menewaskan Sarawak 3-2 dan seri 1-1 menentang JDT.