Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, berharap ketiadaan dua tonggak import, Liridon Krasniqi dan Sandro Da Silva, tidak menjejaskan persembahan pasukan, sebaliknya terus memasang impian mengutip mata dalam Liga Super menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, esok.

“Saya mengesahkan Kedah akan turun esok tanpa dua pemain utama, Liridon (Krasniqi) dan Sandro (Da Silva) akibat masalah kecederaan semasa perlawanan menentang Kuala Lumpur dalam saingan Piala FA," katanya.

Tambah Cheng Hoe, Kedah juga tidak dapat menggunakan khidmat Syazwan Zainon yang masih belum pulih sepenuhnya.

"Tetapi saya yakin pemain simpanan mampu menggalas tanggungjawab bagi memastikan Lang Merah mampu mengutip mata,” katanya kepada media selepas menjalani sesi latihan terakhir di Padang Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, hari ini.

Cheng Hoe juga memberi bayangan akan menurunkan Farhan Roslan dalam kesebelasan utama bagi menggantikan Shazwan Zainon dan berharap pemain licik itu mampu mengucar-kacirkan benteng The Red Warriors (TRW).

“Semoga tiga jaringan ke atas Kuala Lumpur dalam saingan Piala FA terus membakar semangat Farhan beraksi lebih baik malam esok.

“Bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Liridon dan Sandro, mungkin saya akan menyenaraikan Amirul, Akram, Halim, Hanif dan Fakri. Semua mereka berada dalam prestasi terbaik."

Skuad Helang Merah akan turun dalam aksi kelima dalam misi memungut tiga mata untuk kekal sebagai pendahulu Liga Super.

Tuan rumah, Kelantan, memerlukan kemenangan demi menebus kekalahan mengejut dalam Piala FA apabila diaibkan pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC 4-3 melalui penentuan sepakan penalti.