Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, berharap tonggak serangan negara, Mohamadou Sumareh, mampu memaparkan prestasi terbaiknya dalam perlawanan 'play-off' pertama kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 menentang Timor Leste, Jumaat ini.

Ketiadaan pemain naturalisasi itu jelas memberikan kesan ketika skuad negara menewaskan Nepal 2-0, Ahad lalu, dengan jentera serangan kelihatan tumpul di depan gawang.

Sebelum ini, Cheng Hoe kehilangan khidmat Sumareh ekoran digantung empat perlawanan oleh Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) susulan tindakan kurang sopannya terhadap pegawai perlawanan dalam aksi final kedua Piala Suzuki AFF di Hanoi, tahun lalu.

"Sumareh tidak dapat diturunkan sewaktu menentang Nepal, namun kami masih ada dua hari untuk menjalani latihan.

"Saya akan melihat prestasinya dan saya rasakan dia telah memaparkan aksi terbaiknya dalam Piala Suzuki AFF sebelum ini.

"Saya berharap dia dapat menterjemahkan prestasi terbaiknya ketika menentang Timor Leste nanti," katanya.

Dalam pada itu, pemain negara mengekalkan semangat tinggi dan fokus sepanjang latihan walaupun dalam suasana sambutan Aidilfitri.

"Bagi saya, ia tidak mendatangkan masalah kerana tugasan ini perlu diutamakan.

"Tiada masalah buat kami walaupun hanya dapat beraya sekejap sahaja," kata penyerang negara, Safawi Rasid.

"Ia untuk negara dan kami terpaksa berkorban.

"Walaupun terpaksa berlatih pada hari raya pertama, kami perlu berkorban untuk negara.

"Piala Dunia cuma empat tahun sekali tetapi hari raya ada setiap tahun," tambah penjaga gol negara, Zarif Irfan Hashimuddin.

Sementara itu, bekas pengendali skuad kebangsaan, Dollah Salleh, menganggap Harimau Malaya berada di landasan terbaik untuk mengatasi Timor Leste.

Baginya, Malaysia hanya perlu meningkatkan ketajaman di bahagian serangan untuk menumbangkan pasukan di ranking ke-195 dunia itu.

"Apa yang saya lihat (ketika menentang Nepal), bahagian serangan terdapat sedikit ketandusan.

"Namun, kita tidak boleh mengharapkan lebih dalam perlawanan pada bulan puasa.

"Insya-Allah, ketika menentang Timor Leste nanti, peningkatan akan berlaku," katanya.