Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, enggan tunduk dengan keadaan semasa apabila kecederaan pemain utama memaksa beliau memanggil pemain Sabah, Azzizan Nordin dari Sabah sebagai pelan kedua.

Cheng Hoe menerima tamparan apabila beberapa pemain -- Nor Azam Azih, Danial Amier Norhisham, Norshahrul Idlan Talaha, J. Partiban dan Halim Saari -- melaporkan diri ke kem latihan semalam dengan dihimpit masalah kecederaan.

Sebagai persediaan awal, bekas pengendali Kedah itu memanggil tonggak Sabah, Azzizan, untuk menyertai sesi latihan pusat hari ini sebagai persiapan menghadapi aksi pemanas badan menentang Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini, sebelum mengharungi cabaran saingan Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan Vietnam di Hanoi.

"Staf kejurulatihan skuad negara masih lagi berusaha untuk menilai dalam mendapatkan pengganti terbaik Nor Azam tetapi kami masih lagi mahu memberikan peluang kepada setiap pemain yang telah dipanggil untuk membuktikan kebolehan mereka bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain tengah itu," kata Cheng Hoe.