Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, memuji mutu permainan pasukannya ketika menghadirkan debaran buat Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum tunduk 2-1 dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

"Secara keseluruhan, Malaysia bermain dengan begitu baik. Kami mendahului permainan menerusi minit pertama, namun gagal menyerap tekanan UAE dan mereka berjaya menghasilkan jaringan," katanya.

"Bagaimanapun, saya tetap berbangga dengan persembahan pasukan."

Malaysia mendahului permainan seawal minit pertama apabila hantaran silang Matthew Davies berjaya disambar Syafiq Ahmad untuk menggamatkan suasana di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Skuad pelawat kendalian Bert van Marwijk itu bangkit dengan dua jaringan yang disumbat oleh Ali Ahmed Mabkhout Mohsen Omaran Alhajeri sekaligus meleburkan harapan Malaysia meraih sebarang mata.

Pengendali berusia 51 tahun itu mengakui lawan mereka yang di ranking ke-51 dunia memiliki kualiti yang jauh lebih baik daripada skuad bimbingannya, tetapi menggesa anak buahnya supaya melihat ke hadapan dan berusaha untuk mengelak daripada melakukan kesilapan yang mampu menghukum diri sendiri.

"Kami mengakui UAE merupakan salah satu pasukan yang berkualiti. Setiap pemain akan kembali bersama pasukan masing-masing dan menilai setiap kelemahan daripada perlawanan dan memperbaikinya.

"Malaysia perlu bekerja keras dan perlu melihat ke hadapan dan mengelak daripada melakukan kesilapan untuk yang membenarkan lawan menjaringkan gol. UAE menggunakan peluang sebaik mungkin dan meraih kemenangan."

Kecewa kerana gagal membutirkan mata buat Malaysia, Syafiq kekal optimis dengan kemampuan skuad negara untuk kembali beraksi cemerlang dalam aksi kelayakan seterusnya.

"Saya sangat bersyukur kerana berjaya meledak gol untuk Malaysia. Ia merupakan hasil usaha setiap pemain skuad negara. Jaringan tersebut bagaimanapun gagal menghasilkan kemenangan tetapi berharap untuk mendapatkan keputusan positif dalam perlawanan akan datang.

"Penyerang UAE itu sememangnya antara nama besar di Asia dan dia menggunakan setiap peluang untuk menjaringkan gol. Bagaimanapun, Malaysia lebih menguasai permainan dan ia adalah satu persembahan yang berkualiti dihasilkan oleh setiap pemain."