Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, mengakui dia kini memiliki lebih pilihan selepas pemain muda menunjukkan kemampuan untuk menggalas tugas yang diberikan ketika bertemu Kelantan dalam aksi Liga Super di Sultan Mohammad IV, Kota Bharu, kelmarin.

Pada awalnya, ketiadaan tonggak utama membabitkan Liridon Krasniqi, Sandro da Silva dan Syazwan Zainon, mencetuskan kegusaran buat Cheng Hoe.

Tetapi tanggungjawab yang diberikan kepada pemain muda nampaknya digalas dengan baik dan Cheng Hoe jelas dilihat berpuas hati.

Dalam perlawanan itu, prestasi Kedah agak goyah pada separuh masa pertama, bagaimanapun mereka bingkas bangkit untuk mendominasi selepas rehat.

"Pemain-pemain sedikit gugup atau kelam kabut tetapi selepas dapat menyesuaikan diri dengan keadaan padang dan tekanan daripada penyokong tuan rumah, pemain-pemain dapat bermain dengan begitu baik pada separuh masa kedua," kata Cheng Hoe.

Sementara itu, jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail, menganggap kesilapan Kelantan banyak membuka ruang kepada pasukan pelawat yang bijak menyepurnakan peluang.

"Mungkin kami terlalu banyak melakukan kesilapan. Kesilapan sendiri itu membuatkan kami tertekan dalam perlawanan," katanya.

Hasrat Kelantan untuk meraih kemenangan ketiga Liga Super dalam aksi pertama di Kota Bharu hanya berakhir hampa.

Selepas ini, Kelantan akan berdepan Melaka United dalam perlawanan tertunda Liga Super di stadium sama, malam esok.