Ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, tetap fokus kepada tugasan bersama pasukannya dan mahu meneruskan rentak kecemerlangan memastikan tiga mata penuh ke atas PKNS, esok.

Ketika ramai yang membuat rumusan khidmat Cheng Hoe bersama Kedah berakhir minggu lalu, hakikatnya anak jati Kedah ini masih meneruskan rutin hariannya seperti biasa bersama Lang Merah.

Tegas Cheng Hoe, segalanya masih dalam perbincangan dan dia memiliki tanggungjawab untuk disempurnakan walaupun surat peletakan jawatan sudah dihantar kepada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

"Saya masih lagi ketua jurulatih Kedah sampai menanti berita selanjutnya daripada FAM.

"Ini adalah perbincangan di antara KFA dan FAM. Yang penting ini adalah untuk bola sepak Malaysia," jelas Cheng Hoe.

Menjelang aksi berdepan PKNS yang dianggap sebagai lawan yang terdesak mahukan kemenangan bagi mengisi slot Piala Malaysia, Cheng Hoe bertekad mengekalkan rekod tanpa kalah selagi dia masih bergelar jurulatih Kedah.

"Walaupun PKNS berada di tangga bawah, sudah pasti mereka mahukan kedudukan yang terbaik untuk ke Piala Malaysia.

"Saya pasti mereka akan bertandang ke sini dalam misi mendapatkan kemenangan," tambahnya.

Bagaimanapun, tiga pemain utama, Liridon Krasniqi, Baddrol Bakhtiar dan Fitri Omar masih belum dapat dipastikan penampilan mereka kerana berhadapan dengan kecederaan.