Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, menggesa skuad kendaliannya tidak mengulangi kesilapan mudah bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi mengelak ditimpa 'malapetaka' dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Meskipun berjaya menewaskan Indonesia 3-2 dalam aksi pertama Kumpulan G di Stadium Gelora Bung Karno, Khamis lalu, skuad negara bagaimanapun masih dibimbangi dalam aspek bertahan.

Ia dapat dilihat ketika gawang skuad negara dibolosi dua kali dalam situasi sama, berpunca daripada kegagalan barisan pertahanan menutup ruang ketika mengekang asakan skuad Garuda itu.

Cheng Hoe mengakui pasukannya berdepan masalah besar jika kesilapan sama dilakukan anak buahnya dalam aksi mencabar menentang UAE selaku pasukan handalan Asia di ranking ke-65 dunia.

“Kesilapan itu perkara biasa dilakukan dalam bola sepak tetapi kesalahan besar seperti kelalaian membuat hantaran dalam kawasan sendiri yang mudah dipintas pemain lawan sehingga menyebabkan kita dibolosi, perlu diperbaiki.

“Semua itu harus ditingkatkan dan kita juga perlu ada keyakinan tinggi dalam perlawanan ini kerana kita tahu UAE bukan pasukan yang calang-calang. Sekiranya kita membuat kesilapan sedemikian, mungkin kita akan dihukum," katanya.

Sementara itu, pengendali berusia 51 tahun itu menegaskan tumpuan pasukannnya tidak hanya terarah kepada pemain nombor 10, Omar Abdulrahman Ahmed Al-Raaki Al-Amoodi, semata-mata sebaliknya terhadap semua pemain yang diakui perlu dikawal rapi pemainnya.

“Mana-mana pasukan ada pemain tonggak sendiri yang mampu buat sesuatu tetapi tumpuan kami bukan sahaja kepada satu pemain tetapi kita lihat keseluruhan pemain UAE yang mempunyai kualiti terbaik kerana pengalaman beraksi di pentas berbeza berbanding pasukan negara."