Demi Kedah, jurulatih, Tan Cheng Hoe, melupakan seketika sambutan Tahun Baru Cina, Sabtu ini, untuk memastikan tiga mata mampu diraih dalam perlawanan Liga Super menentang Sarawak di Stadium Darulaman, esok.

Mengikut amalan kaum Cina, seluruh ahli keluarga akan berkumpul untuk majlis makan malam sehari sebelum perayaan Tahun Baru Cina.

Namun, Cheng Hoe terpaksa melupakan peluang bersama keluarganya kerana mahu memberi tumpuan terhadap perlawanan yang bakal dihadapi Kedah.

Katanya, kemenangan ke atas Sarawak sahaja menjadi hadiah paling bermakna untuk Tahun Baru Cina kali ini.

"Saya sebagai jurulatih lebih fokus terhadap bola sepak. Saya tidak fikir untuk Tahun Baru Cina. Yang penting, saya menjalankan tugas dengan baik,"

Sementara itu, Kedah dijangka membuat kejutan dengan memberi peluang beraksi kepada penjaga gol ketiga, Mohd Farhan Abu Bakar, untuk perlawanan esok.

Ini berikutan Ifwat Akmal dan Abdul Hadi Hamid masih dalam proses pemulihan akibat kecederaan.

"Saya rasa ini adalah satu cabaran bagi saya. Dalam bola sepak, ada naik ada turun. Saya akan buktikan kepada penyokong, jurulatih dan rakan sepasukan," kata Farhan.