Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebentar tadi mengumumkan Tan Cheng Hoe telah mengundurkan diri daripada jawatannya sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan.

Tindakannya meletakkan jawatan diselubungi prestasi hambar Harimau Malaya dalam Piala AFF 2020 yang menyaksikan mereka tersingkir awal di peringkat Kumpulan B dengan kekalahan kepada Vietnam dan Indonesia.

“Cheng Hoe mengadakan perbincangan dengan pengurusan FAM dan menyatakan hasratnya (untuk meninggalkan pasukan) susulan kegagalan mara ke separuh akhir Piala AFF 2020 di Singapura.

"Selepas perbincangan terbuka dengan semua pihak, pengurusan FAM bersetuju untuk menghormati keputusannya dan membenarkan Cheng Hoe pergi dengan persetujuan bersama," menurut satu kenyataan rasmi.



Bekas jurulatih Kedah itu, pernah berkhidmat dengan pasukan kebangsaan apabila menyandang pelbagai peranan di antara 2005 dan 2011, kembali ke FAM sebagai penolong ketua jurulatih, Nelo Vingada, pada 2017.

Dia dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih setahun kemudian dan membawa Malaysia ke final Piala AFF 2018 sebelum dikecewakan Vietnam 2-3.

Cheng Hoe juga mengetuai pasukan negara dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022 termasuk menewaskan Indonesia 3-2 di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta sebelum COVID-19 merencatkan prestasi menarik mereka.