Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, memberi jaminan pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh, mampu pulih daripada kecederaan pangkal paha menjelang aksi berdepan Indonesia bagi kelayakan Piala Dunia di Gelora Bung Karno, Khamis ini.

Sumareh sudah memulakan latihan bersama pasukan kebangsaan dalam sesi latihan penuh hari ini dan itu sudah cukup itu dijadikan sebagai petanda bahawa pemain itu antara keutamaan Cheng Hoe dalam menamakan kesebelasan utama di Jakarta.

Bekas pengendali Kedah itu lega dengan perkembangan positif Sumareh selepas terpaksa mengetepikan pemain itu ketika aksi persahabatan menentang Jordan, Jumaat lalu.

"Kami masih memantau tahap kecederaan Sumareh dan ia tampak positif. Ia memberi petanda baik kepada pasukan," katanya.

Nama Sumareh dalam senarai pilihan akhir 23 pemain yang akan terbang ke Jakarta, Selasa ini bagi menggalas tanggungjawab menentang Indonesia tatkala Hazwan Bakri, Faiz Nasir dan Jafri Firdaus Chew disingkirkan.

"Macam Hazwan, dia adalah seorang penyerang yang bagus tetapi perlu bekerja keras untuk mendapatkan momentum di peringkat antarabangsa. Faiz masih demam sementara Jafri muda lagi. Mereka akan dipanggil pada masa akan datang," tambah Cheng Hoe.

Sementara itu, Sumareh sedar keperluannya membantu pasukan di Jakarta nanti dan dia lega melalui proses pemulihan yang positif walaupun terpaksa akur dengan keputusan Cheng Hoe yang tidak menggunakan khidmatnya ketika bertemu Jordan.

"Saya harap untuk beraksi semula dengan secepat mungkin setelah terlepas dua perlawanan Piala Malaysia dan kekalahan 0-1 dengan Jordan. Bermain dengan Indonesia di hadapan ribuan penyokong tuan rumah bukan mudah dan sudah pasti ia sengit tetapi saya yakin dengan rakan sepasukan untuk memperoleh keputusan positif," katanya.