Jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, tampak dibelenggu perasaan resah apabila mengakui tidak berpuas hati dengan permainan anak buahnya selepas tewas 4-1 menentang Kuwait dalam aksi pemanas badan di Dubai semalam.

Mendedahkan prestasi barisan pemain negara belum berada pada tahap terbaik, jurulatih berusia 53 tahun itu menggesa skuad Harimau Malaya segera bangkit bagi mengelak ditimpa malapetaka dalam kelayakan Piala Dunia/Piala Asia bulan depan.

"Kami masih lagi belum berpuas hati dengan cara permainan dan keputusan perlawanan secara tidak langsung menjejaskan moral pasukan namun bertemu Bahrain dalam perlawanan akan datang, ia merupakan perlawanan ujian terakhir dan diharap untuk digunakan sebaik mungkin untuk menampilkan permainan dengan baik," kata Cheng Hoe.



Sementara itu, ada pembetulan kadar segera yang perlu diperbaiki, terutama di bahagian perisai negara.

Itu buah fikiran bekas jurulatih negara, B. Sathianathan, merujuk kepada aksi perlawanan ujian di antara Malaysia-Kuwait.

"Malaysia turut menghasilkan peluang namun sekadar menjaringkan satu gol sahaja. Saya berharap mereka dapat memperbaiki permainan secara bertahan dalam perlawanan seterusnya," katanya.

Benar, tiada penilaian tepat mampu dibuat ketika bertemu Kuwait, namun, Sathianathan yakin, menjelang aksi persahabatan dengan Bahrain, bayangan kesebelasan utama untuk bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan lebih jelas.

"Kita gagal menghalang hantaran pasukan lawan dari arah kiri dan perlu mencari jalan memudahkan pihak lawan melancarkan hantaran silang ke dalam kotak penalti."