Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, menyifatkan dua gol dalam separuh masa pertama berjaya memberi tekanan berganda kepada pasukan tuan rumah, Perak, dalam aksi pusingan ketiga Piala FA di Ipoh, malam tadi.

Dua jaringan melalui pertahanan import, Zachary Michael Anderson, dan penyerang utama, Ken IIso Larsen, dalam separuh masa pertama, tambahnya, berjaya meningkatkan tekanan kepada skuad Bos Gaurus dan dalam masa yang sama menambahkan keyakinan pemain-pemain Kedah.

“Tahniah kepada semua pemain yang berjaya mempamerkan aksi cemerlang sepanjang 90 minit dan kini kami mara ke peringkat suku akhir Piala FA,” katanya.

Cheng Hoe, yang pernah dinobatkan sebagai jurulatih terbaik musim lalu, mengakui ketahanan mental yang dimiliki pemainnya mampu menangani tekanan dalam perlawanan sengit dan mencabar.

“Bukan mudah sebenarnya menentang pasukan kuat seperti Perak di gelanggang mereka. Sokongan padu penonton mereka juga mampu membakar semangat juang Bos Gaurus.

"Namun, tahniah kepada pemain saya yang menunjukkan semangat sepasukan yang tinggi sehingga kami mampu menang 2-0.

“Saya harap semangat tidak mudah menyerah kalah sentiasa menjadi nadi perjuangan pemain Kedah untuk mengharungi saingan Liga Malaysia yang semakin mencabar,” katanya.

Dalam saingan panas malam tadi, Perak turun untuk mencalarkan rekod tanpa kalah Kedah musim ini untuk menyambar tiket ke suku akhir Piala FA.

Malangnya, Kedah beraksi lebih tersusun dan mendapat jaringan pertama melalui sepakan percuma pemain import, Sandro da Silva, yang ditanduk masuk pertahanan import dari Australia, Zachary, untuk menewaskan penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim, pada minit ke-28.

Selepas itu, penyerang import, IIso, memastikan Helang Merah terbang tinggi apabila merembat masuk hantaran Abdul Halim Saari pada minit ke-43 untuk memastikan Kedah mara ke suku akhir Piala FA dengan bergaya.